29 Disember 2022 – Selangor Royal Office
DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor khususnya, yang terlibat menjalankan tugas dengan cemerlang sepanjang tempoh misi menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor.
Baginda berkenan menerima menghadap Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, YAS Dato’ Sri Ts. Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, YS Dato’ Norazam Khamis di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Baginda sentiasa mengikuti laporan harian operasi menyelamat dan kagum dengan kesungguhan serta semangat yang ditunjukkan oleh setiap anggota penyelamat ketika melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa-mangsa yang tertimbus, meskipun berdepan pelbagai cabaran dan kesukaran.
Baginda juga dapat saksikan koordinasi yang baik di antara Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor bersama agensi-agensi lain.
Baginda amat berbangga dan menghargai usaha dan kesungguhan para anggota penyelamat dalam misi ini sehingga membolehkan operasi SAR ditamatkan dengan jayanya.
Baginda berharap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor akan terus komited dan dedikasi dalam melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan demi kesejahteraan rakyat di Negeri Selangor.