Miri, 29 September 2024
Pameran Bomba sempena Program Madani Rakyat 2024 mencuri tumpuan ramai apabila menarik seramai 4,607 orang pengunjung. Pameran yang diadakan di Boulevard Miri ini telah diadakan selama 3 hari bermula 27 September yang lepas.
Bomba telah mengadakan beberapa aktiviti seperti Pertandingan Kuiz Kebombaan, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak dan Demonstrasi Pemadaman Api Dapur Celik SURI.
Selain itu, pengunjung turut mencuba sendiri penggunaan peralatan menyelamat Road Traffic Accident (RTA) di lokasi selain pameran kerjaya dengan mencuba menaiki tali dan mengangkat beban yang digunakan semasa temuduga fizikal bomba.
Unit Udara Pangkalan Miri turut terlibat dalam pameran kali ini dengan membawa beberapa model aset jabatan serta turut memberikan penerangan mengenai tugasan Unit Udara di Sarawak.
Turut dibawa ke tapak pameran kali ini adalah Jentera Aerial Ladder Platform (ALP) dan Unit Bermotosikal Rapid Intervention Motorcycle (RIM) yang menjadi tarikan khususnya kanak-kanak. Pengunjung turut dibenarkan untuk menaiki dan merasi sendiri pengalaman menaiki aset jabatan tersebut.
PPgB Nazry Mohamat, Pegawai dari Bahagian Keselamatan Kebakaran turut dijemput sebagai penceramah bertajuk Keselamatan Kebakaran di Rumah di Reruai 2.
Apa yang menarik perhatian ialah kemunculan maskot Bomba yang bernama EDIE yang turut hadir ke lokasi pameran.
Pengunjung bertuah yang terdiri daripada pengunjung ke 100, 300, 500, 700, 900, 1000, 2000 dan 3000 turut membawa hadiah berupa peralatan Alat Pengesan Asap dan Alat Pemadam Api Mudah Alih sumbangan Bomba Sarawak.
Turut hadir di pameran bomba ialah YB Chiew Choon Man, Ahli Parlimen Miri, YBhg Dato Dr. Muhamad Sade bin Muhamad Amin, Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa KPKT, dan PPjB Tiong Ling Hii, Pemangku Pengarah JBPM Sarawak.