
23 Mac 2025. YS PKPjB Jainal @ Zainal bin Madasin Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah telah menyampaikan pemakaian tanda pangkat ke pegawai dan anggota yang telah diluluskan kenaikan pangkat secara time base berasaskan kecemerlangan di Zon Sandakan melibatkan pegawai dan anggota BBP Sandakan, BBP Beluran dan BBP Kinabatangan.
dikongsikan intipati ucapan YS Pengarah.
CABARAN DALAM PERKHIDMATAN AWAM
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati,
4. Sedar atau tidak, dunia kini telah banyak berubah. Lantaran itu, mekanisma, medium dan pendekatan juga harus berubah selari dengan perubahan global. ‘Langit terbuka’ dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) membuka ruang yang luas untuk penyampaian, tindakan dan keputusan kita dipantau, dinilai, dikritik bahkan dipertikai. Sama ada kita suka atau tidak dengan perubahan ini, kita perlu bersedia untuk menyelesaikan masalah dan menyampaikan perkhidmatan kepada ‘stakeholders’ walaupun kadang-kala kita tidak dihargai. It may be a thankless job, but we must always be thankful that we have a job.
5. Nasihat saya, sebagai seorang penjawat awam, kita perlu amalkan sikap terbuka dalam menerima teguran. Jangan sesekali kita melatah. Dalam era globalisasi pada hari ini, rungutan dan ketidakpuasan pelanggan sering diluahkan secara meluas dan pantas melalui media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Twitter dan sebagainya. Adakalanya, apa yang diluahkan adalah fitnah dan tohmahan. Lebih buruk lagi apabila anggota perkhidmatan awam turut melakukannya. Saya ingin mengingatkan kepada kita semua supaya tidak terlibat dalam menyebarkan tohmahan dan fitnah.
TRANSFORMASI DALAM PERKHIDMATAN – URUSAN KENAIKAN PANGKAT
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati,
6. Sebagaimana kita semua sedia maklum, pembangunan kerjaya di dalam perkhidmatan telah melalui pelbagai proses transformasi. Dengan arus perubahan yang berterusan, mengadaptasi dan menyesuaikan diri dengan keadaan sekitar yang sering berubah menjadi penentu kelangsungan perkhidmatan. Sehubungan itu, kesinambungan kepimpinan perkhidmatan awam adalah terletak di atas pegawai yang berilmu, praktikal, berwawasan dan kreatif.
7. YAB Perdana Menteri kita juga telah menzahirkan harapan yang tinggi terhadap 10 generasi muda dalam kalangan penjawat awam di negara ini. Generasi ini dilihat sebagai aset yang begitu berharga untuk dibentuk dan digilap seperti berlian yang terus bersinar. Persediaan dan peluang perlu diberikan dengan secukupnya kepada golongan ini untuk memperkasa kompetensi dan potensi supaya boleh menjadi pemimpin yang kekal releven dengan keperluan semasa. Oleh yang demikian, pegawai yang memiliki kemahiran dan bakat yang berprestasi tinggi serta mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang akan layak untuk diberi pengiktirafan yang sewajarnya.
PENUTUP
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati,
8. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah dan selamat bertugas kepada semua pegawai dimana Sahaja tuan puan ditempatkan kelak. Nasihat saya adalah terapkan sifat syukur dalam apa jua yang kita perolehi kerana ada orang lain yang nasibnya tidak sebaik kita.
9. Akhir kalam, memetik kata-kata Saidina Umar Al Khatab ‘Jangan Engkau percaya melihat kegagahan seorang lelaki, tetapi jika mereka teguh memegang amanah dan menahan tangannya daripada menganiaya sesamanya, itulah lelaki yang sebenarnya’.
10. Sekian, Selamat maju jaya, dan Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.




