Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Persekutuan Putrajaya telah menutup tirai reruai pameran kebombaan sempena Hari Terbuka Putrajaya 2025 bersempena Sambutan Hari Wilayah. Pameran yang berlangsung dari 6 hingga 9 Februari 2025 ini menampilkan pelbagai elemen pendidikan keselamatan, termasuk Bas Pameran yang memberi pendedahan tentang keselamatan kebakaran serta keselamatan di air.
Selain itu, pameran jentera Urban Search and Rescue (USAR) bersama peralatan canggih turut diketengahkan bagi memberi gambaran kepada masyarakat mengenai tahap kesiapsiagaan JBPM dalam menghadapi bencana dan operasi menyelamat. Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman awam terhadap peranan bomba, malah menzahirkan komitmen JBPM dalam memberikan perkhidmatan kebombaan yang cemerlang dan berkesan.






