20 Februari 2025 (Khamis) – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Persekutuan Putrajaya telah menganjurkan Majlis Doa Selamat dan Tazkirah Sempena Menyambut Ramadan 1446H bertempat di Balai Bomba dan Penyelamat Presint 7. Majlis ini adalah satu platform untuk memperkukuhkan ikatan ukhuwah sesama warga JBPM, selain untuk meningkatkan sahsiah dan moral anggota bomba agar sentiasa berpegang kepada nilai-nilai murni.
Majlis yang disempurnakan oleh YS PgKB I Abdul Manaf bin Che Isa, Pengarah JBPM WP Putrajaya dan turut dihadiri oleh YS TPjB Datu Khirudin bin Drahman @ Hussain, Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran, YS TPjB Datuk Ts. Nazili bin Hj. Mahmood, Pengarah Bahagian Pembangunan, Kejuruteraan dan Logistik, YS TPjB Abdul Razak bin Muda, Pengarah Bahagian Latihan, YS PKPjB Azlimin bin Mat Noor, Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran dan YS PPjB Azmi bin Sadon, Pengarah Bahagian Pengurusan Korporat
Majlis dimulakan dengan Tazkirah bertajuk “Persiapan Menyambut Ramadan” oleh YBhg Ustaz Muhammad Amar Bin Abd Hamid dari Nasyrul Quran Putrajaya, yang menekankan kepentingan persiapan rohani dan jasmani dalam menyambut Ramadan dan majlis diteruskan dengan Solat Maghrib berjemaah, tahlil, dan doa selamat yang dipimpin oleh beliau.
Selain itu, majlis juga diserikan dengan persembahan hafazan, tilawah Al-Quran, dan nasyid daripada Kumpulan Rahmah Madani yang akan mewakili JBPM WP Putrajaya dalam Pertandingan Musabaqah anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada bulan Ramadan tahun ini.
JBPM WP Putrajaya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yayasan Restu, Nasyrul Quran Putrajaya atas sumbangan 24 naskah Al-Quran kepada JBPM WP Putrajaya, yang akan ditempatkan di surau-surau Balai Bomba di seluruh Putrajaya.
















