18 MEI 2024, SABTU — Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming, kedua-duanya diiringi oleh YAS Dato’ Ts. Nor Hisham bin Mohammad, Ketua Pengarah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selaku tuan rumah telah menyempurnakan Program Larian Bersama Bomba 2024 ‘Malaysia Madani’ pada malam ini.
Program larian ini adalah kesinambungan daripada Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia (SHABS) 2024 telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan diadakan di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir, Melaka dengan kehadiran peserta dan pengunjung seramai lebih daripada 5,000 lautan manusia.
Terdapat 3 kategori larian pada kali ini iaitu 5 KM Fun Run, 3 KM Family Run dan 3 KM VIP Run. Bagi kategori VIP Run, tetamu-tetamu kehormat terutamanya barisan pemimpin Kerajaan Negeri Melaka yang menyertai acara larian ini, masing-masing bersaing secara sihat menghabiskan larian sehingga ke garisan penamat.
Acara dimeriahkan lagi dengan penyampaian hadiah cabutan bertuah yang menyediakan pelbagai hadiah seperti basikal, mesin basuh, motosikal, ATV dan bermacam-macam lagi.
Turut hadir dalam program larian ini adalah Pengurusan Tertinggi JBPM dan KPKT, serta warga JBPM daripada semua negeri.