Tarikh : 14 Ogos 2025
Tempat : Palm Beach Resort & Spa, W.P. Labuan
Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan Tahun 2025 telah dirasmikan dengan jayanya dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Palm Beach Resort & Spa, Labuan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YAS Dato’ Ir. Ts. Ahmad Izram bin Osman, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM. Turut hadir memeriahkan majlis ialah YS PgKB I Abd Rahman bin Ali, Pengarah JBPM Labuan, bersama barisan pegawai kanan JBPM Labuan yang terdiri daripada Penolong-Penolong Pengarah Bahagian serta Ketua-Ketua Balai.
Seminar ini berjaya menghimpunkan lebih 200 peserta yang terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta, pemilik serta pengurusan premis, badan profesional industri serta pengamal keselamatan kebakaran. Mereka hadir bagi memperkasa pengetahuan, perkongsian maklumat terkini serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam mengurus risiko kebakaran di premis masing-masing.
Pelbagai pengisian bermanfaat disediakan sepanjang seminar ini termasuk sesi ceramah teknikal, perbincangan panel dan perkongsian ilmu, menjadikan penganjuran kali ini sebagai platform penting dalam memperkukuh jaringan profesional serta pemahaman terhadap sistem keselamatan kebakaran yang efisien dan berkesan.

