JOHOR BAHRU, 29 April 2025 – Seramai 215 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor hari ini menerima pelbagai bentuk pengiktirafan sempena Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024, Sijil Perkhidmatan 30 Tahun dan Sijil Perkhidmatan Terpuji Pegawai Bomba Bantuan.
Majlis yang berlangsung penuh istiadat itu telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JBPM Malaysia, YAS Dato’ Ts. Nor Hisham bin Mohammad yang turut memeriksa Kawalan Kehormatan Suku sebagai simbol penghargaan terhadap warga bomba negeri ini.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menzahirkan penghargaan atas jasa dan pengorbanan anggota JBPM yang sentiasa komited melaksanakan tanggungjawab tanpa mengira masa dan keadaan.
“Anugerah ini bukan sekadar penghargaan simbolik, tetapi pengiktirafan terhadap kecemerlangan, ketabahan dan integriti yang ditunjukkan oleh setiap anggota dalam menjalankan amanah kepada rakyat dan negara,” katanya.
Daripada jumlah keseluruhan penerima, 74 anggota menerima Pingat Perkhidmatan Bomba – terdiri daripada seorang penerima Pingat Jasa Bomba, 13 penerima Pingat Setia Bomba dan 60 penerima Pingat Cemerlang Bomba.
Turut disampaikan, 107 Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2024, diikuti 19 Sijil Perkhidmatan 30 Tahun, dan 15 Sijil Perkhidmatan Terpuji Pegawai Bomba Bantuan (PBB).
Sebagai penghargaan khas, Sijil Penghargaan turut diberikan kepada Kpl. Mohd Arif bin Muslim dan Konstabel Selebester Kong Siew York dari IPD Kulai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Kulai dan Kulai atas sumbangan dan kerjasama cemerlang merentas agensi.
Majlis turut dihadiri Pengarah JBPM Johor, YS PKPjB Siti Rohani binti Nadir, Timbalan Pengarah JBPM Johor, PPjB Muhammad Al Mustakin bin Abdul Hady, barisan penolong pengarah, ketua-ketua zon dan balai serta wakil Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia (KESATUAN) Cawangan Johor.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar kenangan bersama semua penerima anugerah dan tetamu kehormat.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia


