Johor Bahru, 12 Februari 2025 – Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, YS PKPjB Siti Rohani binti Nadir, hari ini menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Keselamatan Kerajaan (CGSO) Negeri Johor, Kapten (B) Addy Husszairi bin Husin, di Pejabat Pengarah JBPM Negeri Johor.
Pertemuan ini bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama strategik antara JBPM dan CGSO dalam memastikan aspek keselamatan kebakaran serta perlindungan premis kerajaan terus diperkasa. Kedua-dua pihak turut membincangkan langkah-langkah meningkatkan kesedaran keselamatan kebakaran, pematuhan peraturan serta pelaksanaan latihan berkala di bangunan kerajaan bagi mencegah sebarang insiden tidak diingini.
Dalam perbincangan, Kapten (B) Addy Husszairi menzahirkan penghargaan kepada JBPM Negeri Johor atas komitmen dan peranan penting dalam memastikan keselamatan premis kerajaan sentiasa terkawal. Beliau juga mencadangkan kolaborasi lebih erat antara CGSO dan JBPM dalam program latihan keselamatan kebakaran untuk penjawat awam di Johor.
Sementara itu, YS PKPjB Siti Rohani binti Nadir menyambut baik inisiatif ini dan menegaskan bahawa JBPM Negeri Johor sentiasa komited dalam memberi khidmat nasihat, pemeriksaan keselamatan serta bantuan teknikal kepada semua agensi kerajaan. Beliau menekankan kepentingan pematuhan kepada Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) bagi memastikan bangunan kerajaan mematuhi keperluan keselamatan kebakaran yang ditetapkan.
Kunjungan hormat ini mencerminkan hubungan erat antara CGSO dan JBPM Negeri Johor dalam memperkukuh aspek keselamatan kebakaran di premis-premis kerajaan, sekali gus memastikan persekitaran kerja yang lebih selamat dan kondusif bagi penjawat awam serta orang awam.


