JOHOR BAHRU, 11 April 2025 – Suasana penuh kemesraan dan kemeriahan terpancar di Dewan Bakawali, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor apabila berlangsungnya Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri Tahun 2025 yang menghimpunkan seluruh warga kerja ibu pejabat dalam satu sambutan yang penuh makna.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Yang Setia PKPjB Siti Rohani binti Nadir, Pengarah JBPM Negeri Johor, diiringi oleh PPjB Muhammad Al Mustakin bin Abdul Hady, Timbalan Pengarah JBPM Negeri Johor, serta Penolong-penolong Pengarah Bahagian dari seluruh JBPM Negeri Johor.
Majlis bukan sahaja menjadi platform mengukuhkan silaturahim sempena Syawal, bahkan turut meraikan pegawai-pegawai yang berpindah keluar dan pegawai baharu yang bertukar masuk ke JBPM Negeri Johor, sebagai tanda penghargaan dan penerimaan dalam keluarga besar JBPM.
Keistimewaan majlis ini turut terserlah menerusi juadah hari raya yang disediakan oleh bahagian-bahagian JBPM Negeri Johor, memperlihatkan semangat kebersamaan dan gotong-royong dalam meraikan Aidilfitri.
Majlis seumpama ini bukan sahaja menyemarakkan nilai perpaduan dalam kalangan warga kerja, malah mencerminkan budaya organisasi yang saling menyokong antara satu sama lain, selaras dengan nilai-nilai murni yang diterapkan dalam perkhidmatan awam.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia


