Kluang, 28 Januari 2023 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dengan bantuan Unit Udara JBPM telah melaksanakan khidmat khas (logistik banjir) ke dua daerah di Negeri Johor iaitu di Daerah Mersing dan Daerah Kluang sepanjang tempoh banjir kali ini bermula 26 hingga 28 Januari yang lalu. Khidmat khas yang digerakkan pada hari pertama ke Kampung Peta, Mersing telah menerbangkan seberat 750kg dan operasi diteruskan pada hari kedua di lokasi yang sama seberat 1100kg. Operasi khidmat khas ini turut diteruskan ke Kampung Punan dengan membawa barangan makanan seberat 400kg untuk diagihkan kepada penduduk di kampung tersebut. Pemangku Pengarah JBPM Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Rizal Buang berkata penerbangan menggunakan pesawat jenis Agusta AW139 yang diketuai oleh Juruterbang, Penguasa Bomba Faridullahamin Mohd Noh beserta 4 orang krew penerbangan seterusnya digerakkan pada hari ketiga ke Kampung Punan, Mersing bagi menghantar barangan makanan seberat 2150kg dan 750kg ke Ladang Sungai Sembrong bagi diagihkan kepada penduduk dan pekerja yang terputus hubungan di Ladang Zamrud, Kahang.”Khidmat khas (logistik banjir) ini telah diselaraskan melalui Pejabat Daerah Kluang dan Pejabat Daerah Mersing dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor” tambahnya lagi.”Dalam tempoh yang sama, JBPM Johor turut berjaya menerbangkan tiga orang pesakit yang mengalami komplikasi hamil untuk menerima rawatan lanjut ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang” katanya.

