KORBAN

1,250 kekosongan jawatan bomba diisi hingga hujung tahun ini

Oleh Samadi Ahmad – Julai 12, 2022 @ 1:41pm
bhnews@bh.com.my

PUTRAJAYA: Sejumlah 1,250 kekosongan pelbagai jawatan dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara akan diisi sepenuhnya hingga hujung tahun ini.  Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata sejumlah 1,000 kekosongan jawatan akan diisi pegawai gred KB19, manakala 250 lagi membabitkan gred KB29 dan KB41.

Beliau berkata, kekosongan itu membabitkan anggota yang bersara wajib dan kekosongan jawatan lain.

“Sebanyak 1,630 kekosongan lagi akan diisi pada hujung tahun depan selepas mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya selepas program Ibadah Korban Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan JBPM di Balai Bomba Presint 14 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib dan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib.

Sebanyak sembilan lembu dikorbankan dengan dua daripadanya disumbangkan oleh Menteri KPKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, selain Ismail (seekor), Perbadanan Prima Malaysia (dua) dan warga JBPM (empat).

Daging korban kemudian diagihkan kepada anggota JBPM, warga KPKT dan golongan asnaf di sekitar Putrajaya.

Mohammad Hamdan berkata, jumlah 1,250 kakitangan itu akan ditempatkan di balai bomba di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan dengan keutamaan diberikan kepada balai baharu.

“Pada 14 hingga 18 Julai ini, JBPM akan mengadakan perbarisan pentauliahan membabitkan 1,000 anggota gred KB 19.

“Majlis itu akan diadakan di tiga Wilayah Akademi Bomba membabitkan Wilayah Sabah, Sarawak dan Wakaf Tapai, Terengganu,” katanya.

kredit sumber : BH Online

English EN Malay MS
Skip to content