2022 04 04 082923

10 jam padam kebakaran empat bot bawa muatan diesel

MERSING: Pasukan bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira 10 jam bagi memadamkan kebakaran empat bot termasuk tiga yang sarat muatan diesel di jeti nelayan Sungai Endau, tengah malam tadi.  Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin, berkata tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Katanya, terdahulu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kebakaran bot melalui talian MERS999 pada jam 12.08 tengah malam.

Berikutan itu, katanya, tiga jentera LFRT, satu jentera membawa tangki air dan satu jentera EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, BBP Mersing, BBP Kuala Rompin dan Endau dengan kekuatan seramai 32 anggota dihantar ke lokasi kejadian.

“Setiba Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, kami dapati dua bot kelas B dan dua bot kelas C sedang terbakar.

“Bot pertama berkelas B yang tiada muatan minyak diesel, musnah kira-kira 70 peratus, manakala satu lagi kelas B membawa 5,000 liter diesel musnah 80 peratus.

“Bot ketiga dan keempat berkelas C yang membawa muatan 8,000 liter diesel musnah kira-kira 85 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, PKO bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran hos dan tiga pancutan sumber air terbuka.

Katanya, operasi ditamatkan pada jam 10.42 pagi tadi.

Oleh Mohamad Fahd Rahmat – April 3, 2022 @ 12:17pmbhnews@bh.com.my

English EN Malay MS
Skip to content