Misi Bantuan Kemanusiaan Dan Bencana (HADR) View Announcement in New Tab

KENYATAAN MEDIA

MISI BANTUAN KEMANUSIAAN DAN BENCANA (HADR) MEMBAWA PULANG RAKYAT MALAYSIA DARI NEW DELHI, INDIA
18 Julai 2020

YB DATUK SERI REDZUAN BIN MD. YUSOF
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas)

1. Pagi ini pesawat Malindo Air OD-0207/0208 daripada New Delhi, India telah selamat mendarat di KLIA pada jam 6.31 pagi membawa pulang seramai 105 orang penumpang. Pesawat ini telah berlepas semalam pada jam 4.20 petang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi New Delhi untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di India akibat Pandemik COVID-19.

2. Daripada 105 orang penumpang ini, 62 orang adalah jemaah tabligh, 34 orang gabungan kakitangan kedutaan Malaysia dan rakyat Malaysia yang terkandas sejak lapangan terbang India ditutup manakala baki 9 orang merupakan krew Malindo Air.

3. Semua penumpang telah melepasi tapisan kesihatan yang dibuat oleh Kerajaan India sebelum dibenarkan menaiki pesawat. Sebaik tiba di KLIA, sama seperti ketibaan antarabangsa yang lain, semua penumpang perlu melalui saringan kesihatan dan ujian COVID-19.

4. Mengambil kira kumpulan ini telah kembali dari negara yang berisiko tinggi dengan jangkitan Pandemik COVID-19, mereka perlu dikuarantin wajib selama 14 hari di Pusat Pemantauan (Surveillance Centre).

5. Setelah selesai tapisan kesihatan di KLIA, kumpulan Person Under Surveillance (PUS) ini telah dibawa menaiki bas ke Pusat Pemantauan (Surveillance Center) iaitu Akedemi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang terletak di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan Mereka yang tidak melepasi saringan kesihatan akan dihantar terus ke Hospital yang telah ditetapkan.

6. Pusat Pemantauan ini akan diselia oleh petugas-petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Di sini perhubungan adalah terhad kepada petugas kesihatan sahaja. Selain petugas kesihatan tidak ada perhubungan dengan pihak luar yang dibenarkan termasuk ahli keluarga. Justeru, ahli keluarga atau sahabat handai diminta agar dapat memahami situasi ini dan hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pelaksanaan pemantauan ini. Untuk tujuan keselamatan, lokasi ini dikawal oleh pihak polis.

7. Saringan kesihatan akan dibuat dua (2) kali sehari bagi memastikan mereka ini benar-benar sihat dan boleh dibenarkan keluar setelah tamat proses pemantauan ini.
8. Ini merupakan Misi HADR Malaysia yang ke-5 setelah kejayaan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Wuhan, China, Italy dan Iran. Kerajaan Malaysia ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan misi bantuan kemanusiaan membawa pulang rakyat Malaysia ini berjalan lancar dan semua selamat tiba di bumi Malaysia.

9. Kejayaan misi ini adalah hasil kerjasama pelbagai agensi kerajaan, termasuk Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kesihatan malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, , Angkatan Pertahan Awam, Jabatan Imigresen Malaysia dan AKEP yang diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). MAHB dan Malindo Air juga telah memberi kerjasama dalam menjayakan misi ini.

10. Hubungan baik dan kerjasama yang erat antara Kerajaan Malaysia dan India juga menjadi penyumbang utama kejayaan kali ini. Sudah pasti ianya telah menggambarkan hubungan persahabatan yang kukuh antara kedua-dua buah negara.

Dikeluarkan oleh:
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)
18 Julai 2020

Keanggotaan JBPM 59 org
Bilangan Bas JBPM 9 buah
HADR 6.0 INDIA

TARIKH: 18 JULAI 2020
MASA: 0630 - 0830
TEMPAT: BALAI KETIBAAN KLIA 1 PINTU 6

OPERASI TAMAT JAM 0830

KREDIT SUMBER : FB RASMI JBPM

 

Published on 2020-07-29 10:23:03 Posted By Administrator