COVID-19: Tiada peluk cium keluarga buat anggota HAZMAT View Announcement in New Tab

COVID-19: Tiada peluk cium keluarga buat anggota HAZMAT

Oleh Ruwaida Md Zain
bhnews@bh.com.my
Share

SHAH ALAM: Semua rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan pesawat khas menerusi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), perlu melalui proses nyah cemar yang dilakukan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Pelaksanaan proses saringan nyahcemar (DECON) ke atas penumpang itu membabitkan empat penerbangan yang membawa pulang rakyat Malaysia menerusi operasi bantuan kemanusiaan Wuhan, Wuhan 2, Iran dan Itali.

Operasi JBPM itu mendapat kerjasama sepenuhnya dari KKM, Kementerian Luar Negara (KLN), AGENSI dan Pengurusan Bencana (NADMA).

Ketua HAZMAT Selangor, Mohamad Nazri Ar Azmi,yang terbabit secara langsung dalam operasi itu, berkata sebaik sahaja pesawat mendarat, pasukan HAZMAT akan mengambil tanggungjawab pertama dengan melakukan nyahcemar kepada pintu pesawat sebelum dibuka.

“Kita akan sembur pada pintu pesawat dengan sejenis cecair nyahcemar yang dibekalkan oleh pihak lapangan terbang sebelum bawa penumpang keluar.

“Kemudian semua penumpang dibawa turun dan menaiki bas khas ke Unit Bencana Udara (ADU), kemudian mereka akan ke Zon Kuning, di situ proses nyahcemar semua penumpang dilakukan membabitkan pakaian, dokumen perjalanan, beg seterusnya mereka menjalani saringan kesihatan.

“Selesai semua proses ini, baru diserahkan kepada KKM. Pasukan HAZMAT melakukan proses nyahcemar ini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan sebelum dihantar ke pusat kuarantin,” katanya kepada BH di Ibu Pejabat JBPM Negeri Selangor di sini.

Mohamad Nazri berkata, pada awalnya penumpang mengikut semua arahan yang ditetapkan apabila keluar dari pesawat, namun selepas selesai proses itu, ada juga penumpang cuba mengelakkan diri daripada dikuarantin.

“Cuaca yang agak panas juga antara cabaran kami selain tidak dapat makan dan minum sepanjang pemakaian tyvek suit, namun ia tidak mematahkan semakin kami untuk terus berjuang sebagai barisan hadapan walaupun penat tetapi ia menyeronokkan,” katanya.

Beliau berkata, di Selangor, anggota HAZMAT ditempatkan di BBP Shah Alam dan Rawang, namun tidak semua diturunkan kerana sebahagian dari mereka perlu ‘standby’ untuk kes kecemasan berkaitan bahan kimia.

“Semua anggota HAZMAT teruja untuk menyertai Ops COVID-19 ini sebab mereka bekerja dengan penuh minat tetapi kita tidak dapat turunkan semua, sebaliknya kita dibantu anggota HAZMAT dari seluruh negara,” katanya yang mempunyai kepakaran HAZMAT dan CBRNe.

Selain itu katanya, proses nyahcemar turut dilakukan di Ibu Pejabat JBPM Negeri Selangor dalam usaha mengelakkan kemerebakan COVID-19 serta beberapa balai di negeri ini.

“Hari ini kita mula menjalankan operasi nyahcemar di Gombak membabitkan kawasan stesen bas, pasar raya, kedai, dewan serbaguna dan lain-lain tempat yang mungkin berlaku sentuhan orang awam,” katanya.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu, Mohamad Nazri hanya sekali dua sempat bertemu anak-anak dan isteri, namun tiada peluk cium sentuhan seperti biasa demi keselamatan mereka.

“Anak-anak dan isteri faham tugas saya, saya sempat balik ke rumah tetapi sebelum balik saya bersihkan diri di tempat kerja terlebih dahulu dan bila pulang saya tetap jarakkan diri dari mereka.

“Anak saya umur enam dan lapan tahun, mereka tahu mengenai COVI-19 boleh membawa maut, biasanya saya suap anak-anak makan tetapi kali ini saya tak buat demi keselamatan mereka,” katanya.

Kredit Sumber : fb Rasmi JBPM dan bharian online

Published on 2020-03-30 14:02:20 Posted By Administrator